Pages

maeisme On Thursday, August 13, 2009
Assalamu’alaikum. Bertemu lagi di maeisme.blogspot. Kali ini saya kongsi beberapa catatan pengalaman apa yang saya lalui dalam beberapa tempoh yang lalu. Moga bermanfaat.

31 Julai 2009 PONDOK WARISAN IKIM.FM
Hari ini pertama kali masuk radio IKIM. Menjadi tetamu atau pelajar sementara di slot PONDOK WARISAN yang dikendalikan oleh radio IKIM. Dijemput sendiri oleh penceramah slot ini, Dr Abu Anas. Janji jumpa beliau di sebuah hotel di Ampang pukul 9 pagi. Pagi-pagi lagi bertolak ke hotel itu dari kolej. Dalam pukul 10 pagi, saya, Dr Abu Anas dan Sulaiman (pelajar beliau) menuju ke IKIM. Sesampai disana kami disambut oleh warga IKIM yang peramah. Kebetulan pula seorang DJ tersohor IKIM mengenali keluarga saya.
Kitab yang disyarahkan dalam slot ini adalah “Munyah Al-Musalli”. Topik-topik yang dikupas pada slot hari ini ialah kelebihan solat, syarat-syarat dan rukun-rukun solat. Kupasan yang menarik dan segar. Syarahan tidak tertumpu pada apa yang ada dalam kitab sahaja malah dikaitkan dengan isu-isu semasa. Itulah kelebihan musyrif pondok Muhammadiyah di Kelantan ini. Seorang tokoh yang dihormati.
Slot ini dijadualkan pada hari Khamis Jam 9.00 malam. 2 minggu sekali, berselang dengan program “Duniaku Buku”. Jadi jangan lupa mendengar slot WARISAN di radio IKIM!!

2 Ogos 2009 HI-TEA & DIALOG
Kali ini saya dijemput untuk menghadiri HI-TEA & DIALOG bersama pemimpin rakyat di Bangsar. Majlis yang dipenuhi oleh hadirin berbagai bangsa dan agama memberi pengalaman baru buat saya. Niat sebenar pergi bukan untuk makan minum atau mendengar dialog di majlis ini, tapi semata mahu berjumpa dengan seorang yang sentiasa baik dengan saya. Seorang yang pakar dalam bidang perubatan dan juga aktivis dakwah. Gembira bersua jua setelah lama tidak berjumpa.

4,5,6 Ogos 2009 QUIZ, PRESENTATION
Minggu ini adalah minggu keempat semester 1 di universiti. Memang sibuk memanjang. Dalam 3 hari (4,5,6 Ogos) selasa, rabu, khamis ada 4 quizzes, satu test, satu presentation. Nasib baik cancel satu quiz. Dah la kelas pagi sampai petang. Hari-hari balik kelas dekat maghrib dah. Orang lain letih balik dari bermain, kita ni letih balik dari kelas. Malam pun ada kelas kadang-kadang. Nak buat macam mana, inilah nasib ambil maximum subjek. Setakat ini saya tak jumpa lagi member satu batch yang ambil maximum subjek.

7,8,9 Ogos 2009 DAURAH SYAR’IYYAH vs LIQA MAHABBAH
Saya dalam dilema. Antara DAURAH SYAR’IYYAH atau LIQA MAHABBAH…

LIQA MAHABBAH
2 hari sebelum ini saya terima mesej daripada seorang sahabat. Dia meminta saya balik dan menyertai LIQA MAHABBAH yang akan diadakan pada hari sabtu 8 Ogos. Katanya penting untuk saya turut sama demi kelancaran program itu. Program liqa ini adalah pertemuan antara beberapa orang sahabat dengan seorang tokoh agama di Kelantan. Permintaan sahabat saya tu ada wajarnya. Saya yang menjadi tulang belakang program, masakan saya tidak hadir bersama.

DAURAH SYAR’IYYAH
Pagi Khamis 7 Ogos, saya terima mesej daripada sahabat saya yang lain meminta saya menyertai DAURAH SYAR’IYYAH di Bangi selaku pengiring Syeikh Sulaiman As-Saloomi, Mufti Masjid al-Haram.
Setelah mengambil kira beberapa faktor, saya pilih DAURAH SYAR’IYYAH. Daurah 3 hari 2 malam ini bertempat di bangi. Satu program yang membawa pendekatan baru dan advanced. Topik-topik yang dibincangkan bukan sebarangan. Tapi yang mengecewakan adalah Syeikh Sulaiman As-Saloomi tidak dapat hadir kerana masalah teknikal. Beliau diganti oleh Syeikh Isa juga dari Mekah. Saya pernah berjumpa beliau sebelum ini. Tidak seperti daurah-daurah sebelum ini, pengisian kali ini menampilkan sedikit sahaja slot yang mediumnya Bahasa Arab. Agak frust.

8 Ogos 2009 GEMBIRA VS GERAM
Hari ke-2 daurah syar’iyyah. Hari ini sarat dengan kegembiraan kerana dapat berjumpa dengan Ust Abu Huzaifah setelah kian lama tidak bersua muka. Ajak keluar makan tengahari. Makan nasi arab di food court UNITEN. Banyak perkara yang dibualkan namun banyak lagi yang tak sempat di kongsikan. Kiasannya, usahkan nak borak pasal bola, benda lain pun banyak lagi tak cover. Sejam lebih begitu cepat berlalu.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda: ( Tujuh golongan yang mendapat naungan daripada Allah s.w.t. pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:………. 2 lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya,……..)- muttafaqun alaihi
Namun hari tak selalunya cerah. Sebelah petangnya duit saya hilang dicuri. Aduh ! Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Ia mengingatkan saya peristiwa kecurian di Masjid al-Haram. Pada masa itu saya bukan saja mendapat balik barang saya yang dicuri, malah saya mampu menangkap pencuri itu. Akhirnya pencuri itu ditahan polis. Tu la sapo suruh cari pasal nga detektif hehe.. mengenangkan kembali peristiwa itu, hati saya tenang menghadapi dugaan ini walaupun wang yang hilang bukan sedikit. Kata sahabat saya, jumlah yang hilang itu boleh beli handphone 3G. Pokoknya, kita kena yakin pada Allah swt. Allah benar-benar baik terhadap hambanya. Dan betul, keesokan harinya, saya mendapat balik jumlah duit yang hilang itu. Alhamdulillah. Syukur.. Khulasohnya, kepada mana-mana pencuri yang amatur mahupun profesional, jangan cari pasal dengan saya!
Ingatlah ayat Allah berbunyi ‘ Pencuri lelaki dan pencuri wanita, potonglah tangan keduanya (sebagai) balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana’- (al-maaidah:38)

9 Ogos 2009 ZIARAH
Balik daripada daurah, saya pergi ziarah seorang ustaz yang bergelar dato di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Beliau bakal menjalani pembedahan keesokan hari. Dalam perbualan telefon sebelumnya, beliau berkata ‘ tok payoh maghi spital takpo, nyusoh ko enta’. Tapi saya menjawab ia satu kemestian bagi saya untuk pergi ziarah. Ya betul. Saya rasa sebagai seorang muslim, saya bertanggungjawab menziarahi orang sakit, lebih2 lagi kenalan saya.
Daripada Abi Hurairah r.a. sesungguhnya rasulullah s.a.w. bersabda ( Hak muslim keatas muslim ada lima: menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengikuti jenazah, memenuhi undangan-walimah, dan mendoakan yang bersin) – muttafaqun alaihi
Sesampai di hospital, saya terus ke bilik beliau. Biasanya apabila berjumpa kami akan berbual panjang. Tapi nampaknya kali ini tak dapatlah. Oleh kerana ramai ahli keluarga beliau yang datang melawat, saya ambil keputusan mengundur diri lebih awal. Moga beliau selamat menjalani pembedahan.